Perbelanjaan perniagaan yang dibenarkan dalam Borang B

Jika anda bekerja sendiri, ini perbelanjaan perniagaan yang boleh dan tidak boleh ditolak dalam Borang B, cara menuntut peralatan dan rekod yang perlu disimpan.

Ringkasnya
  • Peraturannya: perbelanjaan dikira jika dibelanjakan sepenuhnya dan semata-mata untuk menjana pendapatan perniagaan anda.
  • Anda boleh tuntut bahan, gaji, sewa, lesen, utiliti, pengangkutan ke pelanggan, iklan dan perisian. Anda tidak boleh tuntut perbelanjaan peribadi, bayaran kepada diri sendiri, denda atau perjalanan dari rumah ke tempat kerja biasa.
  • Peralatan: dituntut penuh pada tahun dibeli jika RM 2,000 atau kurang (sehingga RM 20,000 setahun). Barang lebih mahal: 30% hingga 40% daripada kos pada tahun pertama, kemudian 10% hingga 20% setahun.
  • Untung untuk Borang B: pendapatan, tolak perbelanjaan, tolak elaun modal. Pelepasan peribadi ditolak selepas itu.

Contoh dalam halaman ini: Daniel.

Kerja
Jurutera perisian freelance: membina aplikasi dan laman web untuk syarikat
Nama perniagaan
Kod Daniel Enterprise, berdaftar dengan SSM
Tempat kerja
Sebuah bilik pejabat kecil yang disewa
Mula
Januari 2026, sebagai pemilikan tunggal
Borang B pertama
Difailkan pada 2027, bagi pendapatan 2026

Langkah 1: Jumlahkan pendapatan perniagaan anda

Kira setiap invois yang dikeluarkan dalam tahun itu, sama ada sudah dibayar atau belum, dan setiap jualan tunai.

Contoh: pendapatan Daniel

Invois dibayar pada 2026
RM 90,000.00
Invois belum dibayar pada 31 Disember
RM 6,000.00
Pendapatan perniagaan 2026
RM 96,000.00

Langkah 2: Senaraikan perbelanjaan anda

Semak resit dan penyata bank anda, dan asingkan setiap satu menggunakan jadual ini.

Boleh dituntut

  • Bahan, alat ganti, stok untuk dijual semula
  • Gaji pekerja atau pembantu
  • Sewa studio, bengkel atau kedai
  • Lesen perniagaan, utiliti untuk ruang kerja
  • Minyak, tol, parkir ke pelanggan dan pembekal
  • Iklan, hosting laman web, langganan perisian
  • Caj bank, faedah atas pinjaman perniagaan
  • Hadiah promosi di Malaysia yang ada logo anda
  • Makan dan keraian untuk pelangganSeparuh sahaja
  • Invois yang anda anggap tidak akan dibayar (hutang lapuk)Jika dikira sebagai pendapatan dalam Langkah 1

Tidak boleh dituntut

  • Perbelanjaan peribadi dan isi rumah
  • Bayaran kepada diri sendiri, tunai atau stok yang anda ambil
  • Perjalanan dari rumah ke tempat kerja biasa anda
  • Denda dan penalti
  • Kos permulaan sebelum perniagaan bermula
  • Peralatan, kenderaan, susut nilaiLihat Langkah 3

Contoh: perbelanjaan Daniel

PerbelanjaanDibelanjakanTuntut
Sewa bilik pejabat, 12 × RM 600.00RM 7,200.00RM 7,200.00
Server cloud dan langganan perisianRM 2,400.00RM 2,400.00
Pereka freelance untuk skrin aplikasiRM 3,000.00RM 3,000.00
Minyak, tol dan parkir ke mesyuarat dengan pelangganRM 1,800.00RM 1,800.00
Makan bersama pelangganRM 640.00RM 320.00
Makan tengah hari sendiri pada hari bekerjaRM 1,100.00RM 0.00
JumlahRM 16,140.00RM 14,720.00

Langkah 3: Tuntut peralatan secara berasingan

Peralatan bukan perbelanjaan. Ia dituntut sebagai elaun modal.

BarangCara ia dituntut
RM 2,000 atau kurang setiap satuPenuh pada tahun dibeli, sehingga RM 20,000 setahun. Tidak untuk barang yang dibeli secara sewa beli; barang itu ikut kadar biasa di bawah.
Lebih daripada RM 2,00020% ditambah kadar tahunan pada tahun pertama, kemudian kadar tahunan sehingga kosnya habis dituntut.
JenisKadar tahunanContoh
Kenderaan bermotor, jentera berat20%Van, motosikal
Loji dan jentera14%Penghawa dingin, oven, pemampat
Peralatan pejabat, perabot10%Meja, kabinet, kerusi

Komputer, perisian dan kereta ada peraturan dan had tersendiri, jadi tanya akauntan yang mana terpakai.

Contoh: peralatan Daniel

Monitor (RM 1,200.00) dan kerusi pejabat (RM 650.00) masing-masing bawah RM 2,000, jadi kedua-duanya dituntut penuh bagi 2026. Penghawa dingin untuk bilik pejabat (RM 3,000.00) ialah loji dan jentera, dan dituntut begini:

TahunDituntutBaki kos
2026 (20% + 14%)RM 1,020.00RM 1,980.00
2027 (14%)RM 420.00RM 1,560.00
2028 (14%)RM 420.00RM 1,140.00
2029 (14%)RM 420.00RM 720.00
2030 (14%)RM 420.00RM 300.00
2031 (baki)RM 300.00RM 0.00
Monitor, penuh
RM 1,200.00
Kerusi pejabat, penuh
+ RM 650.00
Penghawa dingin, RM 3,000.00 × 34%
+ RM 1,020.00
Elaun modal bagi 2026
RM 2,870.00

Langkah 4: Bahagikan barang yang digunakan untuk kerja dan rumah

Tuntut bahagian perniagaan sahaja, dan catat cara anda mengiranya.

BarangCara kira bahagian
Bil telefonKira panggilan dan mesej kerja dalam sebulan yang biasa
Internet rumahJam untuk kerja berbanding kegunaan lain
Minyak kereta dan parkirLog perjalanan ke pelanggan dan pembekal

Contoh: bil telefon Daniel

RM 120.00 sebulan, kira-kira 60% untuk pelanggan:

Bil telefon, 12 × RM 120.00
RM 1,440.00
Bahagian untuk kerja
× 60%
Bahagian perniagaan
RM 864.00

Langkah 5: Kira untung untuk Borang B

Gabungkan 4 langkah tadi. Bagi Daniel:

Pendapatan perniagaan (Langkah 1)
RM 96,000.00
Perbelanjaan (Langkah 2)
− RM 14,720.00
Telefon, bahagian perniagaan (Langkah 4)
− RM 864.00
Pendapatan larasan
RM 80,416.00
Elaun modal (Langkah 3)
− RM 2,870.00
Pendapatan berkanun perniagaan (Borang B, item B1)
RM 77,546.00

Simpan rekod selama 7 tahun

SimpanUntuk
Invois, bil tunai dan resit yang anda keluarkanLangkah 1
Resit pembekal atau e-InvoisLangkah 2 hingga 4
Penyata bankSemua langkah
Log perjalanan dan cara anda mengira setiap bahagianLangkah 4

Asingkan perbelanjaan perniagaan dan peribadi, sebaik-baiknya dalam akaun berasingan.

Ini maklumat umum, bukan nasihat cukai.

Panduan lain untuk sesiapa yang buat sebut harga dan kutip bayaran sendiri: semua panduan.


Soalan lazim

Bolehkah saya tuntut komputer riba?

Boleh, sebagai elaun modal: dituntut penuh pada tahun dibeli jika RM 2,000 atau kurang; jika lebih, komputer ada kadar sendiri, jadi tanya akauntan. Komputer riba yang bukan untuk perniagaan mungkin boleh dikira di bawah pelepasan gaya hidup.

Bolehkah saya tuntut invois yang pelanggan tidak pernah bayar?

Boleh, jika anda sudah mengiranya sebagai pendapatan dan, pada akhir tahun, anda jangka dengan munasabah ia tidak akan dibayar. Simpan peringatan yang menunjukkan anda sudah cuba mengutipnya: lihat pelanggan tidak bayar.

Perlukah saya ada e-Invois untuk menuntut perbelanjaan?

Tidak semestinya. Pembekal yang dikecualikan daripada e-Invois mengeluarkan resit biasa, dan resit itu boleh digunakan sebagai bukti perbelanjaan.

Bagaimana jika perniagaan saya rugi?

Pada tahun yang sama, kerugian perniagaan ditolak daripada pendapatan lain anda, contohnya gaji. Bakinya dibawa ke hadapan untuk ditolak daripada pendapatan perniagaan sehingga 10 tahun berturut-turut.

Sumber

  • Akta Cukai Pendapatan 1967: seksyen 33(1), 34(2) dan (3), 39(1)(a) hingga (c) dan (l), termasuk proviso (vi), 43(2), 44(2) dan (5F), dan 82; Jadual 3, perenggan 10, 15 dan 19A.
  • Ketetapan Umum LHDN: No. 2/2001, perenggan 3.1.1 dan 3.1.4 (kadar di bawah P.U.(A) 52/2000); No. 4/2026 (30 September 2026), perenggan 6, 8 dan 13; No. 5/2000 (Disemak), perenggan 3.3.1, 3.3.5 dan 3.4.1.
  • Nota Penerangan Borang B 2025 LHDN: item N3, B1 dan B15, dan nota elaun modal selepas item B2a. Garis Panduan e-Invois LHDN, versi 4.8 (30 Ogos 2026), perenggan 1.6.2.